AIMDS



Apa kau tak punya pilihan atau kau sendiri memilih untuk tidak memilih? Kau yang mahu setia dalam kegelapan yang Tuhan ciptakan, atau ada yang lain kau cari dalam kegelapan ini? Oh ya, terlupa aku dengan cereka yang mega lagukan tak lama dulu. Kekasih yang kau nantikan ada selalu melihatmu cuma pada malam hari, tak hairanlah kau tak lelah memilih untuk bersembunyi dari matahari.

Maksud kau, si penipu yang cuma tahu melantun cahaya yang bukan miliknya di atas sana? Hah! Teruskan kau sama tertipu, sama macam manusia-manusia bodoh yang senang-senang mengaitkan aku dengan keanehan yang mereka sendiri cipta, dicanang tukang-tukang karut menghias pesta-pesta keraian. Lalu aku yang terus-terus dianehkan.

Keanehan apa yang kau maksudkan? Tentang kisah percintaan terlarang kau dengan puteri berjuluk Selena menurut mitos Yunani itu sampai menyebabkan kau tercampak ke bumi dan disumpah menjadi hodoh begini, atau kisah ibu bapamu yang tersadai di langit sejak kau dilahirkan?

Hahah. Mana kau dengar semua ni?

Mega ceritakan pada aku. Katanya ada sendalu yang membisik cerita dari sebuah rumah di hujung kampung sana. Ada seorang anak gadis membaca ceritamu di laman sesawang yang selalu mengandungi informasi-informasi buatan manusia. Nah, macam-macam pula yang aku dengar, tahulah aku sebenarnya kau bukan mencintai kegelapan, cuma menanti kekasih kau yang mustahil kau dapatkan.

Sudah-sudahlah kau mendengar yang tidak-tidak. Namanya pun laman sesawang, entah sudah bersawang bagaimana cerita yang dibaca budak tu. Hidup aku sudahlah tidak diharap orang, wujud aku dikait dengan hantu dan kematian pula. Apa tidak puas lagi kalian merendahkan aku, dagang merempat yang hidup bergelap ni? Hidup aku tak susahkan orang, malah semua binatang celaka yang dibenci manusia, aku musnahkan biar cuma sejahtera yang memeluk ladang tempat kau bernyawa. Sekarang kau katakan aku mencintai yang tak selayaknya aku cinta? Apa bodoh sangatkah aku ni?

Eh, jangan begitu. Aku bertanya saja. Sudah dua tiga bulan kebelakangan ini cuma kau yang menjadi peneman aku selain si jangkrik yang menyanyi tak henti itu. Daripada aku terus percaya apa yang mega ceritakan, lebih baik aku tanya kau sendiri. Lagi pula, aku lihat sejak kau selamat di dadaku, makin terang si bulan melantun cahaya ke ubun-ubunku saban malam. Mungkin dia yang sebenarnya mencintai kau dalam diam?

Cuba kau lihat di atas, apa tak indah bulan malam ini?

Kalau benar bulan mencintai aku, maka berat aku katakan, cintanya tak setia. Sama ada hidup aku pada waktu malam adalah untuk bulan, atau hidup bulan pada waktu malam sebenarnya untuk aku, itu kau boleh fikirkan. 222 adik-beradik aku tenang terbang di seluruh dunia, banyaknya hidup pada waktu malam, tapi tak kurang ada sesetengah yang lebih lega berhujan cahaya matahari yang terang.

Aku ini buta sahabatku, tapi sekurang-kurangnya aku tahu ada bulan di benua Antartika sana bahkan lebih terang lagi pantulnya di ufuk bumi itu, padahal tak pernah sekalipun aku ke sana? Jadi, apa benar bulan mencintai wujud aku, atau sebenarnya dia mencintai yang lain?

Ah, aku pening.

Apa yang kau fahami dengan cinta?

Cinta adalah perasaan yang kuat. Cinta memabukkan, membuta dan membinasa. Aku tak percaya ada cinta yang sederhana, kerana cinta yang sederhana itu bukanlah cinta namanya. Cinta adalah sesuatu yang agung, kuasanya begitu hebat sampai segagah-gagah makhluk tuhan pun dengan cinta dia menjadi binasa.

Bagi aku cinta adalah seperti anak kecil. Yang tak tahu apa-apa. Iya benar, cinta akan sakit dan menyakitkan, kita jatuh dan terluka. Tapi dari air mata itu kita belajar kuat dan berani, kita belajar dunia ini tak indah tanpa lelah dan siksa. Kita belajar melahirkan jiwa dengan cinta yang berkuasa tadi. Iya cinta tidak sederhana, tapi kita takkan binasa dengan cinta selagi kita mencintai yang ada.

Apa wujud orang yang mencintai yang tiada?

Beringin, memang banyak cinta-cinta murni yang tertembok bukan cuma oleh bahan feodalisme malah dari sistem kepercayaan, kebangsaan, ekonomi, adat istiadat dan banyak lagi sekat-sekat kaku yang rumit dari sosialisasi yang melelahkan. Tapi sekurang-kurangnya cinta-cinta terhalang ini bukan sesuatu yang mustahil untuk diangankan pun dijadikan cita-cita yang kau azam silih hari.

Tapi sayangku, kalau kau katakan kekasih aku adalah si penghuni langit yang takkan pernah walau sekali aku sentuh pipinya, yang cuma mampu aku rindukan bening matanya di sela jagaku menatap dia di kejauhan berjuta nautika ini, bukankah aku gila mencintai sesuatu yang takkan pernah menjadi milik aku?

Walaupun kerinduan itu membuat kau terlahir lebih berazam untuk kuat dalam nafas yang kau hela? Walaupun cinta itu menjadikan kau tak penat berjaga siaga dalam sunyi ini? Kalau begitu, cinta kau hanya pada jasad dan zahir, sesuatu yang dapat kau rasa dengan deria. Sedangkan cinta lebih dari itu.

Aku ada kau, rimbunmu meneduh, tidak terlalu tinggi gayat tidak pula terlalu rendah tak selamat.. Kau yang meneman lena, malah setia pula menadah cerita-cerita aku yang terbuang ini saat jaga. Tidakkah lebih baik aku selesa memelukmu dari menjadi pungguk yang merindukan bulan?

Nikmat Tuhanku yang manakah yang perlu aku dustakan, Beringin?


Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu