C.E.R.I.T.A. C.I.N.T.A. 1515

C.E.R.I.T.A. C.I.N.T.A. 1515

Aku budak pelik. Aneh. Dari kecil lagi. Kerjanya membaca, membaca, membaca. Seolah-olah membaca itu cinta. Buku adalah syurga. Tempat aku mengenal dunia. Kalau orang lain suka tonton televisyen, aku suka baca buku walau menarik macam mana pun siaran kartun waktu tu. Tak ingat sejak bila mula membaca, tapi ibu ayah bangga sangat, anaknya membaca laju bila saat orang lain baru mula belajar mengeja. Ya, aku mula belajar bercinta awal, berbanding orang lain. Fasa aku mendahului sesiapa yang sebaya.

Bila orang lain mula membaca dan berjinak-jinak dengan tulisan berwarna-warni penuh ilustrasi, aku memeluk ensiklopedia kanak-kanak dalam dakapanku. Tapi keluarga bukan orang senang, semuanya dapat dari perpustakaan, sebab ayah suka kami membaca. Seingat aku, buku pertama yang aku miliki sendiri (yang betul-betul buku), Buku Siri Penyiasatan Tujuh Sahabat (ke Siri Tujuh Penyiasat, tak ingat dah). Mama dan abah yang hadiahkan, masa ni kami masih tinggal di rumah setinggan.

Tapi cinta aku bukan mekar di situ. Ini cerita tentang satu buku tebal berwarna jingga. Ada dalam satu bilik di kampung sebelah ibu. Buku sastera lama. Entah macam mana budak sekecil aku (umur 7 tahun) boleh faham buku KOMSAS silibus IPT (atau STPM)  (kalau tak salah waktu tu CikMah punya). Setiap kali balik kampung aku akan menyorok dalam bilik tu untuk baca buku. Indah bahasanya, sastera lama. Bukunya pun lama, dah kuning hampir dimakan anai-anai.

Di mana-mana pun kalau ada sudut bacaan, terperuklah aku di situ membelek-belek dari kulit ke kulit. Tak kiralah di sekolah, di rumah, di klinik, di bank, di pejabat pos (baca pamplet). Tak ada sesiapa paksa. Aku suka. Seronok. Ibu selalu marah aku baca buku malam-malam. Ibu suruh tidur, kita nak membaca. Membaca dalam gelap. Masin mulut ibu, rabun sekarang cermin mata kuasa hampir 300.

"Kenapa kamu nak jadi pustakawan?" "Sebab saya suka buku, saya suka dekat dengan buku, saya suka bau buku," ini jawab aku waktu ditanya Cikgu Jakiah dulu. Hampir semua buku dalam perpustakaan tu selesai aku belek (kalau tak baca pun tahu serba sedikit).

Tapi semuanya tak lama.

Sejak masuk tingkatan tiga (kalau tak salah), aku jadi susah membaca. Lambat. Setiap perkataan aku hadam satu-satu. Kalau ada gangguan sikit pun aku akan mula semula, kalau tak dari atas, dari muka sebelah. Aku jadi susah. Dan lama-lama aku jadi malas.

Ya, aku masih suka buku. Suka beli. Suka tidur dengan buku macam dulu. Tapi buku-buku di rak tinggal di rak. Tersandarlah gelaran Tsundoku di atas pundak seorang pencinta.

Alangkah baik jika aku seorang pencinta yang setia.

.
.
.

C.E.R.I.T.A. C.I.N.T.A. 1515 sepatutnya tentang menulis.
Tapi aku diajar kita tak mampu menulis tanpa membaca.
Kita tak mampu memberi tanpa memiliki apa-apa.

Oh ya, Haziyah Mh. Aku tak pernah ada tulisan yang diterbitkan. Sebab aku baru kenal dunia 'menulis'. Dulu dunia aku 'membaca'. Dan sedihnya, untuk pengalaman lebih satu dekad aku bercinta dengan buku, tak banyak yang lekat dalam kepala. Jadi aku masih manusia kosong yang belum boleh memberi.

Ini.
Cerita sedih tentang seorang pencinta.

#HIMPUNsatulima

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu