Bebelan untuk dua hari

Hari ni pesakit kami untuk klinik prosthodontik terpaksa dirujuk untuk pembedahan sebelum boleh kami buatkan gigi palsu, jadi kami habiskan klinik tanpa buat apa-apa melainkan sedikit soal jawab klise yang biasa berlaku, selain kami menanyakan sejarah kesihatan pesakit, saya juga ditanya soalan macam "kamu dah bernikah ke?" atau "kenapa kamu study di Jordan?"

Jadi saya pulang awal, menunggu Zuzu selesai kelas sambil minum-minum di restoran, cadangnya nak ke rumah dia selepas ni untuk siapkan skrip pementasan teater bulan November nanti. Laptop yang memang dah dibawa dari awal ke hulu ke hilir, saya buka, seminit sebelum gelap. Ah, kita memang diuji dengan macam-macam.

Tapi ini bukanlah apa-apa sebab saya selesai juga tulis empat babak semasa di rumah Zuzu. Kalau nak cakap pasal diuji, nah ketika itu saya tak tahu, apa yang akan berlaku selepas tu rupanya lebih menguji lagi.

Jam enam petang hari Khamis, kami sudah mula kelas intensif untuk anak-anak yang sedikit 'lambat' dalam kelas tambahan yang kami buat pada hari Jumaat dan Sabtu. Kelas yang patut fokus kepada beberapa pelajar, tapi aduh macam biasalah anak-anak ni suka betul datang sekolah kami, habis diserbunya ramai-ramai macam ikan-ikan serbu cebisan roti yang kita baling ke muka air.

Penat satu hari yang dah terkumpul dengan hari-hari sebelumnya, saya cakap lagi pada diri sendiri yang saya dah tak larat nak marah. Tapi nak taknak memang kena ada seseorang yang bertegas sebab semua kawan-kawan dalam organisasi kami ni memang takkan marah anak-anak. Tapi saya pun penat juga nak marah, anak-anak yang ramai, dan hari-hari pula.

Anak-anak Arab ni tak sama macam anak-anak kita. Tolong jangan samakan. Tolong. Sedikit pun tak sama, dia punya semangat, dia punya buas, memanglah macam ombak dan saya tak tahu harus jadi pantai yang berubah-rubah dan bijak untuk fleksibel, atau beting yang degil dan cuba untuk keras walaupun saya faham mereka cuma budak-budak. Jadi saya pilih jadi pantai dulu buat masa ni. Sebab umur anak-anak kami yang beza, dan rencam pula pengalaman masing-masing yang acu mereka jadi begitu.

Tapi alangkah mengujinya bila waktu itu sekolah kami sedang tak ada air dan tiba-tiba ada anak buat onar di atas lantai bilik air. Tak tahan sangat agaknya, bau satu sekolah. Tapi kami tak dapat kesan siapa punya angkara. Yang penting saya marah betul sebab masalah air patut dah lama selesai sebab kami dah adukan kepada penjaga bangunan berkali-kali dan dia tabur janji palsu macam yang selalu ahli politik buat. Sekian lama dan hari ini dah ada masalah begini, kami disuruh pula tunggu dengan janji jam 11.30 malam ini air akan masuk ke tangki. Saya penat dan lebih tak logik kalau saya tak marah. Lebih pening lagi, esok kami akan mulakan kelas tambahan untuk pelajar yang akan ambil periksa tamat sekolah menengah, buat pertama kali; dan satu sekolah sedang berbau najis sekarang? Ya Tuhan.

Jadi saya pun bebel-bebel dalam grup sukarelawan kami meluahkan tak puas hati pasal masalah yang berlaku. Tak harap apapun, cuma sajalah suka nak membebel kan kita sedang geram. Aiz dan Haz pun turun ke sekolah dalam setengah jam selepas tu menemankan saya, Kiah dan kak Ham. Kami jumpa sekali lagi penjaga bangunan minta segera juga, tapi katanya tiba-tiba jam 10 boleh selesai inshaa Allah.

Saya lari sebentar ke Gormet untuk sambung perbincangan skrip teater, sekurang-kurangnya jam 10 malam saya boleh pulang ke bangunan sekolah untuk periksa air. Dan sekurang-kurangnya marah saya boleh reda sedikit. Lepas makan mi goreng yang Aiz belikan, perut yang dah masuk angin buatkan saya jadi lebih tak selesa. Jam 10 malam saya pulang ke sekolah, dengan Aiz, Haz dan kak Ham.

Penjaga bangunan datang ketuk pintu sekolah kami lebih kurang jam 10.30 malam. Dia bawa juga isteri dan anak tiga orang. Jadi dia , Aiz dan Haz pergi uruskan masalah air dan tangki, paip dan motor yang mungkin jadi masalah, sementara kami yang perempuan tunggu di sekolah dan berbual-bual. Isteri penjaga bangunan bernama Marr mulanya teruja bila tahu saya belajar pergigian, dia nyatakan rasa kesal kenapa tak pernah kami ziarah dia yang di bawah sekolah kami sebagai jiran.

Saya bawa Marr tengok-tengok sekolah kami dan kemudian kami duduk di depan rak buku sambil anak-anaknya bermain dan sepah-sepahkan buku. Marr suruh saya bersihkan giginya nanti (scaling) sebab dia kata dia tak pernah berus gigi kecuali pada bulan Raamadhan sebab gusinya cepat berdarah. Tapi saya katakan yang gosok gigi sangat penting, kau patut gosok gigi setiap hari kalau tak mahu sakit. Berus gigi terbagi kepada tiga jenis berus, ada yang kasar, ada yang sederhana dan ada pula yang lembut, gigih saya terangkan dalam Bahasa Araab. Kemudian dia beri alasan pula yang anak-anaknya tiga orang ini buatkan dia penat dan sibuk tak sempat gosok gigi. Anak pula yang salah.

Dia mahu saya bersihkan giginya sebab dia yang malas nak bersihkan gigi sendiri. Nasib baik kita tak ada perkhidmatan mandikan atau tolong istinjakkan sebab kalau ada, saya risau makin ramai manusia yang harap orang lain saja. Saya malas dan penat jadi saya biar kak Ham tukar topik. Marr tanya umur kak Ham, kak Ham jawab umurnya 22 tahun. Marr terkejut sebab dia kata kak Ham lagi tua dari dia. Kami lebih terkejut, laju saya tanya umur dia berapa pula? Umur dia 21 tahun. Oh Tuhan, kami sebaya dan dia dah ada anak tiga. Katanya kahwin pada umur 16 tahun. Saya lupa, mana boleh nak samakan situasi dia sebagai seorang Arab, dan mangsa perang, dengan saya yang dihantar belajar ke luar negara dengan biasiswa kerajaan.

Kemudian dia sambung pula tanya tentang siapa yang akan bersihkan tandas sekolah kami yang dah dionarkan budak tadi. Tapi saya tahu dia sedang uji kami, atau dia sedang cuba paksa kami gajikan dia sebab tiba-tiba kami dah bincang pasal gaji pembersih tanpa sedar dan dia seolah-olah sedang tawar-menawar gaji terbaik untuk diri sendiri. Bukan tak mahu bantu, tapi saya nampak situasi tak berapa cantik tambah pula bila dia tiba-tiba mengungkit pasal bersihkan tangga bangunan hari-hari sedangkan memang kami dah upah suaminya sebagai penjaga bangunan dan bayaran itu dah mencakupi apa yang dia buat. Jadi saya jawab, kami yang akan bersihkan sendiri tandas sekolah kami sendiri.

Dia merungut, katanya orang kaya Kuwait, Saudi dan lain-lain tak pernah nak bantu pelarian Syria. Saya terdiam dan tak mampu respon lagi sebab itu di luar kuasa kami. Memang banyak benda kami orang Malaysia di sini mahu bantu, tapi setakat ni kami bantu pun atas jasa dan duit orang Malaysia yang lain. Kapasiti kami bukan luas mana. Kami pelajar dan duit kami bukan banyak sangat pun.

Jadi dia pergi bersama suaminya yang pesan kepada kami untuk periksa air selepas 15 minit. Setelah tunggu sampai 12 tengah malam, air masih tak ada dan kami putuskan untuk tengok semula esok pagi. Kak Ham dah sanggupkan diri untuk datang awal pagi periksa air dan bersihkan tandas memandangkan rumah kami jauh, rumah dia terdekat antara kami, dan kelas tambahan mula jam 8 pagi esok.


6 Oktober 2016.

--------






Jadi saya tulis ni jam 2 pagi tapi saya nak selesaikan juga tulisan saya yang cuma pengalaman bodoh dan marhaen ni. Disebabkan dah mengantuk sangat dan esok saya perlu keluar rumah awal pagi sebab sertai pasukan paramedik untuk karnival sukan pelajar Malaysia di sini, jadi saya tak perincikan macam tulisan tentang semalam.

Saya dah minta pelepasan dari sertai paramedik hari Jumaat untuk selesaikan masalah air yang belum masuk tangki dan tandas berbau, kelas tambahan pertama kali akan kami buat dan semua orang tahu pentingnya persepsi pertama dalam kerja-kerja macam ni. Tapi sampai ke sudah air tak masuk, kami nak telefon pakcik lori air untuk isi saja air dari atas bumbung, tapi bumbung pula dikunci penjaga bangunan yang taknak angkat telefon langsung dan tak ada jawapan walaupun kami ketuk pintu rumahnya bertalu-talu. Biasa, pagi Jumaat dan Arab cuma bangun untuk ke masjid nanti.

Pelajar dah datang, saya terkejut sebab saiz mereka begitu besar. Memang sengaja saya pilih perempuan semuanya supaya senang nak dikendali. Nasib baik semuanya baik dan beradab, sekurang-kurangnya untuk hari pertama ini dan harapnya untuk hari akan datang juga.

Sementara saya dan Kiah uruskan pendaftaran dan macam-macam dokumen lagi, kak Ham mula cuci tandas sebab dah ada air sedikit-sedikit. Tak tahu apa kami nak buat kalau tak ada kak Ham. Tak tahu apa saya nak buat kalau tak ada Kiah yang cekap buat semua benda.

Sambil-sambil tu saya dapat pengajaran baru dalam hidup, semacam orang yang terkenal macam abang Mus boleh dapatkan sumbangan untuk sekolah kami dalam sekelip mata (20 minit untuk beli 20 kerusi) bila dia tulis status di Facebook. Saya terkejut dan takjub dengan kuasa kemashuran. Kiah pun semangatlah suruh saya tulis buku dan terkenal macam abang Mus juga. Terkenal, senang nak dapat sumbangan untuk sekolah kita. Lebih kurang macam itulah formula perempuan ini, saya setuju juga.

Kami tinggal di sekolah dari jam 8 pagi sampai petang. Kelas untuk budak-budak besar setakat ni tak ada masalah langsung sebab ustaz Muth bantu kami sedaya mampu dalam segala hal. Cuma dua kelas yang terakhir waktu nak beri bayaran pada cikgu, cikgu Biologi suarakan kepada saya yang bayaran kami beri 10 Dinar untuk satu jam terlalu sedikit sebenarnya. Saya terangkan yang sekolah kami percuma untuk bantu pelarian Syria, mustahil kami boleh beri banyak kepada guru untuk kerja kebajikan macam ni. Tapi dia macam tak boleh terima jawapan saya, sebab iyalah, itu bukan masalah dia. Jadi ustaz Muth bercakap dan terangkan kepada dia, baru dia nampak boleh terima sedikit. Cuma bila ustaz Muth pergi, dia tanya lagi kepada saya, “Duit yang kamu bayar kepada saya ni datang dari mana?”

Saya tenang jawab “Dari orang-orang yang nak bantu pelarian Syria.”

“Kerana Allah?”

Saya angguk dan senyum sedikit. Saya harap hatinya terbuka untuk bantu kami dan tak persoalkan benda ni lagi. Saya takut nak hadapi semua benda-benda ni, yang kami ladeni bukan bangsa kami tapi bangsa yang ragamnya selalu saya tak suka dan sukar saya faham.

Dia pandang saya dengan pandangan yang saya tak dapat tafsirkan, kemudian dia masuk dan mengajar.

Tiba-tiba budak-budak kecil untuk kelas tambahan dah datang sedangkan jam baru pukul 3 dan kelas mereka pukul 4 nanti. Saya taknak cakap lagi pasal kerenah budak-budak yang memang suka berlari, bergaduh, menjerit-jerit dan bermain kasar sesama mereka. Yang saya nak cakap sekarang pasal perangai mak budak. 

Saya sungguh tak boleh terima bila tiba-tiba datang ibunya si Khal ke sekolah dengan anak dia yang bernama Khal itu, ada plaster di dahi. Dia dakwa anak dia luka dua hari lepas sebab main kasar sangat di sekolah kami. Dia kata saya patut lebih keras dengan budak-budak supaya budak-budak takut dengan saya.

Yang itu satu hal. Saya marah sangat bila tiba-tiba dia masuk meluru ikut suka hati ke dalam kelas dan jumpa dengan cikgu Khal yang sedang mengajar, cakap tentang hal yang sama, supaya cikgu lebih garang. Katanya anak dia jadi macam tu sebab cikgu tak garang dan budak tak takut. Gila ke? Cikgu tu dah lah tak tahu apa-apa pasal kes anak kau. Si Khal ni pun memang jenis yang kalau depan saya pijak semut tak mati, senyum manis macam dia makan tebu dalam dunia ni sampai habis, tapi bila tengah main, ganasnya tak usah cakap. Saya pernah nampak, saya pernah tegur, saya pernah marah dan hentikan anak dia sendiri. Mak yang lagi kenal anaknya, takkan tak tahu anak dia memang buas bila bermain?

Kau pergilah marah anak kau dulu baru kau ajar aku macam mana nak marah anak kau.

Tu sajalah cerita saya. Bagi saya si Khal tak salah, biasalah budak-budak, Arab pula, memanglah semulajadinya ganas dan liar begitu. Yang masalah bila si emak macam membabi buta (kenapa babi yang salah?) seperti itu.

Sekian. Salam pengetua yang suka mengadu sebab penat. Tapi saya harap saya tak putus asa sebab budak-budak ni sayang dekat saya walaupun saya garang. Saya tahu.


7 Oktober 2016








Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu