Setengah jam pertama di Lithuania.
Jam 1845 dan kami tiba saat matahari hampir jatuh. Dengan backpack yang sudah bertambah muatan kami susun langkah ke Tourist Info seperti selalu. Sedikit beza, sepanjang jalan kami tak ditatap mata-mata yang melihat kami aneh dan pelik. Sama ada orang terlalu sibuk dengan hal masing-masing atau orang sudah terbiasa dan terbuka melihat Muslim.
Wanita separuh abad berambut coklat yang duduk di kaunter tanya ni nampak sombong dan tak berapa melayan. Biar saya ingatkan sekali lagi, biasanya orang begini bukan kerana mereka angkuh dan pandang enteng kepada makhluk pendatang seperti kami, tapi lantaran kurang fasih berbahasa Inggeris menatijahkan 'malas' nak melayan pertanyaan yang diaju. Mujur ada seorang lelaki tinggi lampai yang kebetulan lalu, menegur kami dan bertanya kalau-kalau kami perlukan pertolongan. Dahlah kacak, baik pula. Jangan runsing, raut kacak cuma boleh keluar dari definisi saya andai riaknya jernih dan tidak berona jahat.
Sudah, kami teruskan jalan menuju ke Old Town seperti yang diberitahu. Dengan panduan Google Maps di tangan, kami menuju ke Raugiklos g 13 dengan jangkaan 7 minit berjalan kaki. Kami tiba ke satu bangunan yang betul seperti dalam peta, tapi tak ada bayang-bayang tuan rumah yang katanya menunggu kami.
Wi-fi yang ada di mana-mana, kami WhatsApp tuan rumah untuk tahu yang rupanya dia telah beri alamat yang salah. Kami teruskan berjalan kaki dengan beban lebih sepuluh kilogram atas bahu masing-masing untuk perjalanan lebih 20 minit lagi, kali ini menuju Vokieciu g 15.
Saya masih berjalan paling hadapan bersama Aisy dengan telefon pintar di tangan saya. Makin laju langkah kami bila titik-titik biru di atas Peta Google masih banyak sebelum sampai destinasi. Finn, Azy, Hann, dan Fiq jauh di belakang.
Sampai ke tempat yang kami tuju, tapi belum ada bayang-bayang orang yang sepatutnya menunggu. Bahagian hadapan bangunan ini yang penuh dengan kedai makan dan butik, tak mungkin tempat penginapan kami di situ. Saya berdiri di belakang bangunan bernombor 15 yang agak tersembunyi, melihat keliling. Aisy berdiri di jalan sebelum masuk ke lorong belakang tempat saya berdiri, supaya Finn, Azy, Hann, dan Fiq dapat lihat kami yang menuntun jalan. Kemudian mereka semua berdiri di situ, di tepi jalan.
"Buat apa kat situ?" saya laung.
"Betul ke? Situ ke tempatnya?"
"Aah. Ke marilah,"
Aisy sudah berjalan ke arah saya, yang lain baru mengatur langkah apabila seorang lelaki bertopi keluar dari salah satu pintu bangunan yang paling dekat dengan jalan tempat semua sedang tegak, bersama tiga ekor anjing kecil yang riang bebas tak berantai.
Saya dah nampak dah, saat Hann mula berlari adalah saatnya anjing-anjing itu akan mula mengejar. Dan ya, ketiga-tiga anjing riang benar nampaknya mengejar Finn, Azy, Hann, dan Fiq yang berlari ke arah saya, membawa kepada satu kesimpulan; anjing juga sedang berlari ke arah saya. Lelaki bertopi pemilik anjing-anjing kecil yang comel cuma gelak melihat kami sebelum mencapai seekor anjingnya.
"Run harder!" Dua orang kawan beliau turut sama gelak besar melihat segerombolan pendatang asing bertudung yang takut benar dengan binatang kesayangan mereka ini. Hann yang dah pucat, marah. Dalam benak kawan-kawan saya sama, lelaki tadi langsung tak sensitif!
Saya fikir lain. Bayangkan situasi berbeza, awak adalah seorang pencinta kucing yang memiliki beberapa ekor kucing kesayangan yang awak anggap macam ahli keluarga awak. Saya ada kawan begini. Kucingnya makan bersama, boleh naik ke katil dan meja belajar, berkongsi ruang hidup sekitar tuan sendiri. Cuba bayangkan awak adalah tuan kucing merangkap seorang pencinta begini, kemudian seorang kawan awak yang takutkan kucing datang ke rumah awak. Semakin kawan awak lari dan mengelak, semakin kucing awak tertarik dan mengendeng nak mendekat. Apa yang awak rasa? Saya yakin, tak banyak pasti awak rasa lucu walau sedikit melihat haiwan kesayangan awak yang begitu baik dan tak berbahaya malah menakutkan orang.
Tukar kucing dalam situasi tadi kepada anjing yang mengendeng mendekati kita. Alahai positif sungguhlah saya. Cerita pasal anjing ni memang takkan habis. Nanti saya ceritakan kisah saya disondol anjing sebesar Scooby Doo ketika saya travel ke Croatia Jun 2015.
---
Jam 2144
Lithuania.
Ulasan
Catat Ulasan