Melanglang Tanah Ais (ICELAND)
#1
Kami mulakan perjalanan dari Gardur jam 1810 menuju ke Strakkur. Matahari masih cantik di balik awan hitam dan putih yang berselang. Kepulan-kepulan putih mengewap dari bumi hijau sepanjang jalan. Apa yang boleh kita sangka dari negara Geotherma ini kalau bukan pancutan geyser yang mengitari kami, melukiskan awan-awan tumbuh di atas tanah? Subhanallah.
Hari pertama di Iceland.
4 September 2016.
-----
#2
Hari kedua di Iceland.
5 September 2016.
-----
#3
Wow. Saya pertama kali tahu tentang ini ketika sekolah rendah dulu, belajar subjek Kajian Tempatan. Kemudian tahu lebih sedikit ketika belajar Geografi ketika menengah bawah. Tapi tak pernah saya bayangkan dapat melihat sendiri 10 darjah dan 100 darjah celcius yang bertemu. Meletus dari bumi dan mengewap panas di bumi sejuk. Subhanallah.
Hari kedua di Iceland.
5 September 2016.
-----
#4
Percayalah. Dua pelangi ini cuma mampu wujud kerana cahaya terserak pada air yang terbias terlalu dan terlalu tinggi. Kami belum mendengar apa-apa bunyi dari jauh, belum melihat pemandangan apa-apa selain wap putih yang naik, tapi angin sudah membawa percik-percik halus ke wajah kami.
Hari kedua di Iceland.
5 September 2016.
-----
#5
Hari kedua di Iceland.
5 September 2016.
-----
#6
Kalau Gulfoss tadi merupakan air terjun terbesar, Seljalandfoss merupakan air terjun dengan ketinggian 60 meter. Mempunyai asal usul keturunan dari geyser gunung berapi Eyjafjallajökull.
Kami pulang dengan sedikit kesan lumpur di kasut dan hujung seluar. Tanah di sini tak seperti biasa, tanahnya, lumpur. Yang hitam kami lihat sepanjang jalan, adalah batu dan pasir. Pohon yang tumbuh, bantut atau cuma renek. Yang pasti, anginnya selalu kuat dan sejuk. Mengingatkan saya kembali yang kami sekarang di negara pulau antara Atlantik Utara dan lautan Artik.
Hari kedua di Iceland.
5 September 2016.
------
#7
Skogafoss dan pelangi penuh bersama kembarnya yang malu-malu. Burung merpati berkelintar di mana-mana. Mungkin aneh melihat kami yang terlalu teruja.
Kemudian kami mendaki gunung mencari asal usul air terjun yang lebih lagi. Sungguh. Indah bagaimanalah agaknya sang pencipta, melukiskan segalanya dengan begitu sempurna?
Hari ketiga di Iceland.
6 September 2016.
-------
#8
Solheimassandur. Kami berjalan sejauh 4 kilometer untuk sampai ke tempat ini, dan 4 kilometer semula ke kereta. Bangkai kapal di tengah lapangan pasir hitam terhampar seluas saujana, di kejauhan hanya pergunungan yang sayup seakan menyambut.
Hari ketiga di Iceland.
6 September 2016.
---
#9
Selesai menekuni alam dari tebing tinggi di Dyrholaey, kami terus ke destinasi seterusnya. Reynisfara. Di sini, pasir dan batu halus berwarna hitam memenuhkan muka bumi. Ombak besar membanting pantai hitam pada senja. Batu-batu tersusun cantik bongkah demi bongkah. Tak cukup kami gambarkan dengan kata-kata.
Kami pulang dengan satu ahli yang sejuk basah. Hari ini dia sudah sama-sama jatuh bersama matahari. Jatuh dikejar ombak, ditimpa ombak. Tak cukup pantai, kawan saya dihempasnya juga. Ganas dan begitu laju. Menangkap sebelum sempat lari. Tapi tak apa. Kawan saya bahagia dengan pengalaman. Siapa lagi rakyat Malaysia yang dapat kuyup dan dipeluk kesiur dingin di pantai hitam ini?
Hari ketiga di Iceland.
6 September 2016.
-----
#10
Ini tentang apa yang saya nampak di luar tingkap kereta. Sebenarnya tak ada kata-kata dapat saya susun untuk menggambarkan apa yang ditangkap mata. Sepanjang jalan kami dikelilingi pergunungan, puncaknya diselimuti salji putih yang mencium awan. Awan-awan di sini? Awan paling rendah dan tebal sepanjang pernah saya lihat. Padang rumput di kiri kanan jalan, kuda-kuda Icelandik dan kambing biri-biri tenang memandang kami sepanjang mengelilingi negara. Sungai-sungai mengalir jatuh dari lereng bukit, menyambung air terjun yang begitu banyak di pergunungan.
Matahari? Sedikit malu-malu di atas sana, tidak cerlang memanah maka dapatlah kami melihat bulatan yang begitu jelas bercahaya. Satu lagi yang belum kami sempat. Aurora Borealis. Doakan kami berjodoh dengan cahaya hijau ini di malam hari berbaki.
Hari keempat di Iceland.
7 September 2016.
-----
#11
Kami ke Vatnajokull tanpa sedia. Dalam kepala masing-masing bayangkan Svatifoss sama macam air terjun seperti sebelum ni. Jam 11.30 pagi, kereta yang kami kenderai sampai ke kawasan banjaran yang begitu cantik, puncaknya bukan kabus, tapi awan rendah. Dari jauh warna putih salju memenuhkan banyak ruang dan bahagian. Sedikit kami tahu yang perjalanan hari ini kami mulakan sebagai ekspedisi. 4.3 kilometer mendaki kawasan pergunungan, turun semula sejauh 3 kilometer. Kami sambung pula 4 kilometer berjalan kaki pergi dan pulang dari melihat sendiri batuan gunung yang bersalut ais beku, warna putih yang kami nampak dari jauh tadi. Gleyser saling teroleng pada air sejuk, saya rupanya tak tahu ada lagi menakjubkan di destinasi selepas ini.
Hari keempat di Iceland.
7 September 2016.
----
#12
Jam 5 petang baru kami mahu selesai di Vatnajokull. Menuju Jokulsarlon. Maha suci Tuhan. Dua hari lalu di selatan negara ini kami tonton geyser yang panas mengewap dari bumi, sekarang beberapa puluh batu baru kami menjauh, di hadapan mata saya terbentang banjaran bersalji di mana-mana, dan bongkah-bongkah geyser yang mengapung. Suhu di sini 10°C, dan para itik tenang mengayuh di air; menonton kami.
Majestik. Tak mahu dibatas perkataan untuk saya gambarkan, cukup sempurna. Warna yang terlantun didominasi biru putih, Tuhan, mampukah selepas ini hati saya beralih?
Hari keempat di Iceland.
7 September 2016.
------
#13
Diamond Beach. Jarak dua minit dari Jokulsarlon. Dari Vatnajokull tadi kami semua dah terlalu penat. Saya fikir Muz nak sangat sentuh ais yang kami lihat dari jauh di atas gunung sebab mulutnya macam kata begitu; tapi belum berjaya. Jadi mungkinlah dia yang paling gembira di sini. Sebabnya bongkah-bongkah yang terapung di Jokulsarlon tadi di bawa ke laut dan dihempas ombak pula ke pantai. Pantai pasir hitam kali ini penuh dengan bongkah ais bermacam saiz dan bentuk, seperti berlian.
Jam 8.30 malam. Tapi matahari senja hari ini tak mahu langsung tunjuk wajah kepada kami, awan terlalu rendah dan tebal.
-------
#14
Jadi selesai subuh kami bergerak terus ke Vestrahorn. Matahari tak mahu naik, langit gelap, angin kencang. Kami buntu di Vestrahorn, sekejap saja di luar kereta terus kami masuk semula dan bergerak kembali ke Hofn. Di Hofn baru pukul 8 pagi. Hujan semakin lebat, angin semakin kuat. Kedai-kedai dan bank masih tutup, tapi sudah nampak kelibat anak-anak kecil melintas jalan. Eh, hari ni hari Khamis. Sudah lima hari kami di Iceland. Teliti itinerary, ada dua lagi destinasi untuk hari ini. Semalam yang terlampau padat, dan hari ini begitu senggang dan lapang. Tapi saya tak ralat. Lihat saja cuaca hari ini, syukur Tuhan. Kalau banyak tempat kami mahu teroka dengan cuaca buruk begini, pengalamannya ya, ada. Tapi mungkin tak seindah kalau cuaca baik.
Kami berehat dalam kereta menunggu hujan sedikit teduh. Jam 10 pagi dan tak ada tanda hujan nak berhenti, kami gerak ke stesen minyak untuk teruskan perjalanan. Misi makan lobster di Hofn kami padam dari senarai penting sebab nampaknya kedai pun macam tak akan buka lagi dalam tempoh terdekat.
Saya menulis ini dalam perjalanan ke Egilstadir. Nampaknya hari ini tamat pengembaraan kami di selatan Iceland, kami sedang menuju ke timur pula. Jam sekarang 10.55 pagi. Cuaca sangat buruk. Langit gelap. Hujan terlalu lebat dengan ketul halus air beku yang kadang-kadang jatuh mengena cermin kereta, tak tahulah kalau saya saja yang nampak begini. Kabus tebal, angin terlalu kuat, dan jalan licin ketika kami di selekoh dan lereng-lereng. Secara literalnya kami macam tak nampak apa-apa di luar. Sekarang saya faham kenapa had maksima di Iceland hanya 90 km/j walaupun tak ada apa-apa. Sekarang Wan bawa kereta 60 km/j untuk hati-hati.
Doakan perjalanan kami lancar dan selamat.
Eh tiba-tiba saya nampak sekawan swan di tepi kolam tepi jalan. Pelik betul, tengah-tengah hujan dan sejuk-sejuk ni? Kambing biri-biri pun, elok je makan rumput. Nampaknya kita juga perlu tenang dengan cuaca begini.
Hari kelima di Iceland.
8 September 2016.
----
#15
Hujan sudah sedikit reda. Kami keluar dari Egilstadir menuju Seydisfjodur pada jam 5 setengah petang. Kereta berhenti di tepi jalan selang beberapa ketika pemandangan terlalu indah untuk digambarkan. Kabus dan awan benar-benar di atas kepala kami. Anak-anak sungai dan air terjun mengalir deras di sepanjang lereng jalan. Kereta kami berhentikan lagi.
Pergunungan, langit kelabu dan angin dingin yang memeluk kencang. Itik-itik tenang di lopak air dan rumput-rumput basah. Entah apa dibuatnya. Kerana sejuk sangat, saya mahu masuk dalam kereta dulu sementara yang lain masih mengambil gambar. Tapi saya terserempak dengan sebuah keluarga baru turun dari bukit, katanya ada air terjun yang sangat cantik di situ. Lalu kami ambil keputusan untuk naik dan menekur Vestdalsfossar yang deras selepas hujan. Nyaris Finn pecut langkah seribu melihat seekor biri-biri hitam datang dekat kami di tepi sungai. Dia ingatkan babi hutan. Kesian biri-biri tu terkejut.
Hari makin gelap, kami bergerak ke Lagarfljót. Mitosnya bermula pada cerita seorang gadis yang simpan brooch emas dalam kotak dan letakkan pacat/lintah (slug) di atas broach sebab dia dengar kalau buat begitu nanti emasnya bertambah. Seminggu berlalu sebelum gadis itu buka kembali kotak dan lihat slug tersebut dah begitu besar. Terkejut, gadis itu mencampak broach dan slug ke dalam tasik. Masa berlalu dan makhluk tersebut menjadi raksasa yang kewujudannya begitu ditakuti orang. Dakwaan terawal orang melihat raksasa ini pada 1345. Terkini pada tahun 2012. Entah, ada orang kata gelombang air atau mungkin cuma gas semulajadi dari dasar tasik dan manusia cuma terkeliru atau tersilap nampak. Ada yang kata pantulan atau biasan cahaya. Yang penting kami tak nampak apa-apa melainkan tasik tenang dan hari yang dah nak malam.
Hari kelima di Iceland.
8 September 2016.
---
#16
Saya terlelap. Sedar-sedar kereta kami berhenti di kawasan batu-batu hitam yang sangat banyak dan cantik. Saya fikir kami berhenti sebab nak ambil gambar pada batu hitam, rupanya kami dah sampai kawasan Dettifoss. Ngeri. Satu perkataan yang dapat saya gambarkan. Air terjun terbesar pernah saya lihat setakat ni. Macam sangat berkuasa sampai saya tertanya-tanya agaknya berapa banyak nyawa pernah terkorban di sini. Pelangi tak usah saya sebut lagi berapa banyak yang tumbuh.
Kemudian kami bergerak ke Selfoss dan Viti.
Hari keenam di Iceland.
9 September 2016.
----
#17
Kaya betul Iceland dengan air terjun gergasi. Kali ni kereta kami berhenti di Goðafoss, yang bermakna 'waterfall of the gods'. Dari sungai Skjálfandafljót jatuh pada ketinggian 12 meter dengan kelebaran lebih 30 meters. Alhamdulillah, di sini kepala kami kurang pening berbanding di Dettifoss tadi. Banyak sangat air terjun. Dah macam misi cari air terjun ni. Aurorae Borealis belum muncul sebab setakat ni malam kami semua berbumbung awan tebal.
Hari keenam di Iceland.
9 September 2016.
-----
#18
Semalam sampai sini pemandangan cantik sangat, tapi sebab dah penat semua masuk terus ke tempat penginapan. Jadi pagi ini kami keluar dengan hujan lebat, angin kuat dan kabus tebal untuk mulakan perjalanan. Semoga jalan tak terlalu licin dan semoga Wan terus tabah.
Bismillah.
Hari ketujuh di Iceland.
10 September 2016.
Semalam sampai sini pemandangan cantik sangat, tapi sebab dah penat semua masuk terus ke tempat penginapan. Jadi pagi ini kami keluar dengan hujan lebat, angin kuat dan kabus tebal untuk mulakan perjalanan. Semoga jalan tak terlalu licin dan semoga Wan terus tabah.
Bismillah.
Hari ketujuh di Iceland.
10 September 2016.
-------
#19
Kereta kami berhenti di tepi jalan. Menyaksikan pertembungan air sungai dan laut di kawasan yang anginnya begitu kencang dan dingin sekali, melebihi waktu-waktu sebelum ini. Membaca sejarahnya sedikit dan mengambil beberapa keping gambar, kami tidak lama. Terus masuk ke kereta kerana tak tahan sejuk.
Perjalanan hari ini sangat panjang dan terasa. Akhirnya sampai ke destinasi pertama dalam perancangan untuk hari ini, sungai Hvaun dan Barnafoss. Dahulu ada lengkung batu pengantara yang menghubung dua tebing di Barnafoss ini. Tapi pada satu malam Krismas, satu keluarga bernama Hraunsás telah keluar rumah ke satu keramaian, meninggalkan dua kanak-kanak di rumah. Bila mereka pulang, kanak-kanak tersebut dah hilang. Satu kampung mencari, dan mereka temukan kesan tapak kaki yang tunjukkan kanak-kanak itu menuju sungai. Mereka telah jatuh dari lengkung batu itu dan hilang tak ditemui langsung. Jadi ibu mereka musnahkan lengkung batu tersebut sebab tak mahu tragedi sama berulang.
Hari dah hampir malam, jadi kami tunda persinggahan kami ke Sńjofell hingga esok pagi. Angin begitu kencang meragas, dinginnya cukup rapat memeluk kami sampai ke tulang-belulang.
Hari ketujuh di Iceland.
10 September 2016.
10 September 2016.
Hvaun
-----
#20
Dari jauh saya nampak ombak-ombak besar yang rakus melanggar tebing. Sńjofell adalah kawasan pergunungan yang pernah meletus dulu, jadi tanah kelilingnya subur dengan lumut di atas batu. Tapi kawasan ini di tepi laut. Jadi kami dapat dua benda dalam satu masa. Lama kami ralit menekur ombak, kami bergerak semula menuju Rekjavik. Sepanjang perjalanan kereta berhenti lagi dua tiga kali. Melihat pemandangan indah yang takkan kami kecapi lagi esok. Salah satunya kuda-kuda Iceland yang kami lihat sepanjang mengitari satu negara ini sampai tamat, dan hari ini baru kami mendekat.
Hari kelapan di Iceland.
11 September 2016.
----
#21
Tol pertama kami setelah 8 hari di Iceland dan selesai pusing satu negara. Itupun untuk lalu terowong lebuhraya bawah laut.
Hari kelapan di Iceland.
11 September 2016.
Tol pertama kami setelah 8 hari di Iceland dan selesai pusing satu negara. Itupun untuk lalu terowong lebuhraya bawah laut.
Hari kelapan di Iceland.
11 September 2016.
------
#22
Jadi kami dah pulangkan kereta sewa jam 5 petang tadi dan tersadai di lapangan kapal terbang, menunggu penerbangan ke Amsterdam jam 6 pagi esok. Suhu terlalu sejuk dan pemanas di sebelah saya tak berfungsi. Sepanjang hari ini kami cuma makan roti, biskut dan Doritos. Kerana terlalu lapar, kami ambil ikhtiar masing-masing untuk masak mi segera. Saya guna cara lama waktu belajar masak megi di PLKN dulu; untuk orang yang tak ada bekas untuk makan. Dan lebih sedih lagi mengenangkan malam ni malam raya dan orang lain sedang takbir dan sibuk memasak.
Bumbung airport yang lutsinar, saya boleh terpegun dengan baik melihat senja terakhir di sini. Tapi sekarang jam 11 malam, nampaknya Aurora Borealis hanya tinggal mimpi di sisa waktu kami.
Hari kelapan di Iceland.
Ulasan
Catat Ulasan