Melekat Di Dinding Rahim: Siapa Tuan Siapa Hamba?


Adakah saya bertuhankan anda? Tidak. Adakah saya bertuankan anda? Pasti tidak. Iya? Sejak bila? Persetankan kalau ibu bapak nenek moyang saya begitu, tapi saya belum pernah. Saya menghormati anda seperti saya menghormati seluruh manusia lain, bukan sebagai tuan saya. Tidak begitu jauhnya anda dengan saya melainkan kerana takdir Tuhan anda terlahir dari rahim ibu anda dan saya terlahir dari rahim ibu saya. Adakah anda berusaha lahir dari rahim ibu anda? Tidak. Adakah saya berusaha lahir dari rahim ibu saya? Tidak. Saya, anda, atau anak-anak ini tidak pernah memilih rahim mana kita dilahirkan, nama apa yang diberi sesudah dilahirkan. Tapi itulah nanti nama yang dipanggil Tuhan seadanya. Juga dari Tuhan. Saya bertuhan. Anda bertuhan, bukan? Tapi anda tidak bertuan. Adakah saya bertuan? Adakah anda tuan saya? Apa yang anda lakukan yang menjadikan anda tuan? Tidak ada apa-apa. Anda cuma lahir dari rahim ibu anda. Apa yang ada di dinding rahim ibu saya yang melahirkan saya sebagai hamba tuan?  Tidak juga ada. 

Jadi tenanglah. Mungkin anda tak bersalah cuma sayalah yang keterlaluan melahirkan penghargaan pada anda yang tak berkorban apapun menjadi tuan. Mungkin anda tidak pernah mahu dilahirkan dari rahim ibu anda menanggung darjat kebesaran dan tanggungjawab yang terpikul padanya tapi sayalah yang mengada-ngada merendahkan diri sebagai duli di kaki anda dan bukan di kaki Tuhan kita. Mungkin anda tak bersalah tapi sayalah yang berlebih-lebihan menjadi hamba.

Tapi saya tahu, takdir saya tidak tersangkut pada rahim ibu anda atau ibu saya. Jalur nasib saya dan nyawa di badan ini cuma melekat di dinding Ar-Rahim, itu Tuhan empunya rahim ibu-ibu di dunia.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu