Melati Dan Bayu

Cerita klise tentang perempuan yang mahu lari dan melupakan tapi kenangan memeluknya pulang.

Langit Jakarta tidak biru. Tidak pernah biru sejak dia menjejakkan kaki ke kota sibuk ini lima hari lalu. Hari-hari yang berjalan dengan tenang dalam dirinya meski jalan-jalan macet teruk, kenderaan begitu rapat dan pemandunya masing-masing hilang sabar. Melati tidak lagi menangis seperti biasa. Americano di atas meja sudah dingin. Buku 100 Soneta Cinta karya Pablo Neruda terjemahan Aan Mansyur masih terbuka, masih di halaman 17 pada puisi VII sejak jarum panjang jam di dinding Filosofi Kopi menunjukkan angka tiga dan sekarang sudah di angka sepuluh.

"... O Cinta, kini kita lupa bintang memiliki duri setajam ini!"

Ingatannya jatuh lagi pada wajah yang masih bernyawa di dadanya. Wajah jelik dengan jenaka yang tak lucu namun selalu berjaya membuatnya tertawa.

"Bintang maksudnya cita-cita, Melati."

Melati senyum, merapatkan telefon Sony Experia Z berwarna putih yang sudah panas ke telinga kiri.

"Cita-cita yang tinggi. Bintang satu maksudnya satu cita-cita," suara serak-serak basah lelaki itu menyambung.

"Bukan komunis?" Melati memotong.

"Yang tu pun boleh."

Melati ketawa lagi di dalam selimut. Dia tak mahu ibu saudaranya terjaga. Jam sudah pukul tiga pagi. Entah apa yang mereka bualkan. Entah apa yang lucu.

"Antara berjuta bintang
ada satu yang kita kongsi bersama…"

Bayu mulai menyanyi. Puisi dari Bayu. Nada dari Melati. Lagu mereka. Lagu yang Melati nadakan dari puisi spontan Bayu kepadanya ketika mereka bertelefon beberapa minggu sebelumnya. Perjalanan bas yang panjang dari Perak ke Selangor. Tapi terasa begitu sekejap dengan kehadiran Bayu di sisi Melati. Bayu yang dekat. Bayu yang jauh.

"Di dalam malam yang sepi
ada kau setia menemani…"

Melati menyambung. Ah, indahnya cinta. Melati buat benda-benda bodoh yang tak pernah dia buat sebelum ini. Contohnya menyanyi dengan suara sumbang pada jam tiga pagi padahal esok jam tujuh pagi kereta Myvi hitam miliknya di hadapan rumah teres dua tingkat itu akan dihidupkan, memandu ke tempat kerja.

Melati penat. Seharian itu dia begitu letih di klinik. Tapi dia tamak. Kalau boleh mahu dibawanya Bayu ke dalam mimpi. Bayu yang dekat. Bayu yang jauh.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

conteng baju sekolah^^

dah habis dah sekolah. macam tu je.

Catatan Melahirkan Seorang Ibu

Engaged

Kepergian