yang pertama dari tiga puluh dua

Dua bibir saya yang kering dan menggelupas sudah mula dicumbu dingin dari kipas yang berpusar di atas. Bius perlahan-lahan hilang. Sekarang pipi kiri saya mula merasai jari-jari saya yang menyentuhnya. Saya duduk dari baring dan buka komputer riba untuk catat segala deria yang pertama ini saya alami, tapi tiba-tiba saya sangat sakit. Bukan berdenyut-denyut. Mencucuk-cucuk.

Saya telan dua biji paracetamol tapi kesakitan saya tak berkurang malah lebih sebab bius makin pergi. Saya gigit kapas kuat, berharap ada sedikit sakit berkurang dengan tekanan - atau dengan kepala otak saya yang fokus kepada satu-satu benda seperti sama ada kesakitan atau tekanan, atau mabuk cinta. Saya menaip, berharap agar segala deria saya tumpu kepada jari yang menari dan tulisan di paparan skrin. Tapi otak saya masih ligat memeluk kesakitan yang tak pernah saya nikmati. Maka saya fikir, seperti sekejap tadi saya pejamkan mata ketika geraham saya dikeluarkan dari soketnya, menikmati setiap inci gerakan yang berlaku, setiap geseran antara gigi dan tulang, setiap urat darah dan sendi yang terputus sebelum sebahagian daripada diri saya yang akan hilang tak terganti menggelongsor keluar dengan sepasang forcep sebagai yang biasa saya lakukan kepada orang lain setiap hari, sekarang juga saya sedang menikmati pasca kehilangan.

Mungkin kesakitan ini lebih saya deritai daripada kehilangan seseorang. Saya benar-benar mahu meraung sekuat hati sekarang. Saya berharap agar dicucuk lagi sejuta kali dengan jarum bius yang tak pernah saya suka. Kenapa saya buang geraham bongsu saya? Memang kadang-kadang dia buat saya sakit dan tak selesa, tapi itu adalah kesakitan-kesakitan yang boleh saya tahan berbanding saat ini. Saya dah melalui berbelas-belas godaan untuk membuangnya, ada pihak sanggup membayar saya nilai tiga ratus ringgit Malaysia untuk saya cabut geraham bongsu saya. Malah untuk buktikan saya manusia yang baik dan kawan yang sejati, saya boleh korbankan geraham saya ketika kawan-kawan peperiksaan akhir tahun akhir tak jumpa gigi untuk dicabut. Tapi tak. Saya biarkan segala momen-momen itu, tidak sekali saya mahu membuang sebahagian diri saya walaupun saya sakit kerananya.

Akhirnya hari ini peristiwa itu berlaku kan? Semata-mata kerana malam tadi saya menulis puisi sampai jam satu pagi, tak larat bangun pergi kerja. Satu-satunya cara untuk berehat tanpa melanggar integriti dan mengorbankan cuti tahunan adalah dengan kehilangan sebahagian diri. Maka itulah, sebatang daripada 32 gigi saya sudah pergi meninggalkan tubuh.

Mungkin kita semua begitu. Amat sukar melepaskan yang kita sayangi tak kiralah berapa kerap kita disakitkan. Walhasilnya yang buat kita jatuh keputusan cumalah sebab-sebab remeh dan bodoh.

Yang penting sekarang saya dah tahu. Sekiranya saya mahu minta untuk ditinggalkan lagi, itu saat paling tepat untuk cabut gigi. Kerana apalah sakit patah hati ketika tubuh saya menderita kehilangan yang lebih hakiki?

Mungkin saya dah gila. Hari ni saya hilang satu perca dari diri saya yang tak akan tumbuh lagi. Tapi saya rayakannya dengan dua batang aiskrim. Kenapa mahu bazir airmata? Saat ini, dua biji paracetamol yang saya telan nampaknya dah berkerja. Sekarang saya tak lagi ingin meraung atau menyakiti diri dengan cara lain.

Selamat tinggal geraham bongsuku. Pulanglah kau kepada tuhan. Aku suatu hari akan menjadi debu, dan kau tetaplah abadi di sini.





Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu