Pseudo


1) Sekarang saya cuba benda baru lagi. Tapi biarlah saya rahsiakan dulu. Kalau jadi nanti, adalah. Semuanya proses belajar. Walaupun saya perlahan-lahan sedar yang saya mungkin tak selesaikan apa yang saya mulakan.

Ibu pernah cakap, pohon yang rimbun takkan pernah tinggi. Mungkin ibu betul. Mungkin tak. Kalau saya tak tinggi, itu sebab saya malas. Macam saya yang asyik tonton Netflix sekarang walaupun saya patut luangkan masa itu untuk menulis atau bersedia untuk ceramah di klinik besok.


2) Minggu depan ke Jakarta. Untuk Pesta Buku Antarabangsa Indonesia. Sebenarnya itu cuma alasan saya untuk lari. Saya nak lari. Lari. Jauh dari semuanya. 

Tadi seharian kursus Ortodontik di Ipoh bersama pegawai-pegawai baru, saya membuka diri. Hari ni sangat menggembirakan. Saya seronok buat kawan. Macamlah saya tak pernah buat kawan sedangkan dah hampir setahun saya kerja sini. Tapi hari ni lain. Saya rasa saya gembira dan dah tak perlu lari.


3) Mat dah beberapa kali minta saya datang ke studio. Kali terakhir kami bertelefon, dia minta saya baca puisi pula. Sebab sedap. Entah. Yalah tu. Tapi bila saya tanya puisi yang mana, dia pun tak pasti sebab dia pernah tengok satu saja video saya deklamasi. Saya tak ada masa pun nak ke sana lagi. Saya kerja. Melainkan satu hari saya kumpul kekuatan untuk ceritakan kepada bos tentang peluang promosi kesihatan pergigian yang lebih luas dengan ML dan entah macam mana tiba-tiba boleh ada satu kerjasama antara KKM dan ML dan entah macam mana saya boleh dapat peruntukan satu hari khusus untuk ke sana tanpa perlu ambil cuti dan ya tentulah tentang gigi dan bukan puisi. Tapi ni cuma imaginasi saya. Saya tak ada roh untuk bagitahu apa yang saya lakukan kepada doktor sini. Kawan-kawan di Negeri Sembilan dah beberapa orang merisik, unit promosi negeri mereka nampaknya dah ada agenda macam yang dalam kepala saya walaupun mungkin caranya berbeza.


4) Saya rindu anak-anak saya di Jordan. Sangat. Yang tak pernah gagal mengisi hari-hari saya dengan seribu pengalaman. Setiap hari selama hampir empat tahun. Tapi itu bukan takdir saya. Menjadi guru bukan takdir saya. Saya pun tak pernah sukakan budak-budak sampailah saya jadi guru mereka dan pengetua sekolah dulu. Mungkin sebab itu entah kenapa saya nampak diri saya di bahagian pediatrik gigi lebih daripada unit bedah mulut - dulu saya bercita-cita nak jadi Pakar Bedah Mulut. Semacam ada kepuasan bila anak-anak senang dengan saya. Dari dulu lagi anak-anak memang senang dengan saya, saya yang tak senang sebab saya tak suka budak-budak. Saya cuma suka buat budak-budak menangis. Tapi sekarang lain. Saya puas hati bila budak-budak tak menangis bila dengan saya di klinik.


5) N kahwin hujung minggu ni. Saya nak pergi tapi dah penat nak memandu sebab kan saya balik setiap minggu? Sebelum pulang ke Malaysia, kami kawan-kawan teater pernah sekali berkumpul ramai-ramai dan tinggalkan sebuah hasrat untuk teruskan apa yang kami buat walaupun masing-masing akan sibuk. Masa tu saya memang tahu yang itu semua angan-angan mat jenin, macam juga cinta monyet. Tapi itu juga adalah sesuatu yang manis untuk dipegang. Jadi kami pegang. Kami mahu sambung buat teater di Malaysia macam yang kami buat di Jordan. Untuk lima teater yang saya pernah tuliskan dulu, cuma satu yang saya ikut lakonkan, itupun sebab tak cukup pelakon. Semuanya manis dan sekejap, macam cita-cita kami.

Pergi ke Serambi Karya kak Faz, saya teringat semua cita-cita tu. Saya tahu saya betul. Sebelum pulang dulu, yang kami pasang adalah angan-angan.


6) Menulis? Saya baru dapat lagi satu tugasan menulis. Kali ni untuk tulis sesuatu yang saya takkan lupa. Saya fikir selama ni saya menulis memang untuk tak lupa. Sebab saya pelupa.

Tapi macam biasa, saya memang selalu dapat tugasan dan tak ada idea.

Saya rasa kosong. Saya tukarlah. Mungkin saya ke Jakarta untuk meneroka. Bukan lagi untuk lari.


7) Selama ni saya senang cuma menurut langkah. Membiarkan takdir menghanyutkan ke mana saja. Tapi sekarang saya dah dewasa. Saya perlu buat pilihan kan? Mungkin ibu betul. Pohon yang rimbun takkan tinggi. Apa yang saya cari? Imej? Populariti? Kepakaran? Nilai? Atau cuma mahu duduk diam-diam dan menikmati hujan macam dulu-dulu?

Entah. Dewasa. Satu hal mencari jiwa yang entah di mana.

Mungkin semua dilema ni pun sekejap, macam juga semua cita-cita dan cinta saya.






Saya campakkan gambar-gambar semalam sebagai bukti saya seorang pseudo sejati. Hari ini saya tak ada apa-apa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu