setitis yang tidak penting tentang UADC 2017

I

Saksi keberanian yang tertumpul.


Mac, F ajak makan. Aku taklah begitu sangsi walaupun F tak pernah berkelakuan begitu. Cuma ya. Aku menanti apa yang mahu dikhabarkan.

Selesai makan,  F perlahan-lahan menyusun perkataan. Katanya mahu aku turut sama merealisasikan mimpi. Ini tahun akhir dia punya kesempatan, dan dia perlu pasukan. Aku yang terharu terus terima tanpa jeda, walau aku tahu yang kisah-kisah lepas membuktikan ahli pasukannya harus terlalu tegar untuk bertahan.

Latihan bermula. Empat jam sekali latihan. Selang sehari. Aku cuba. Dengan jadual yang sedia padat, kuliah, klinik, peperiksaan, requirements, sekolah TFTN, kerja penulisan, aku masih cuba. Aku tak mahu mengalah. Ada objektif yang mahu aku capai; aku yakin selesai pertandingan ini Ogos nanti, aku sudah menjadi Hidayu yang baru. Yang boleh berhujah fasih dalam Bahasa Inggeris. 

F bertimbang rasa. Banyak jadual yang cuba dilonggarkan untuk aku. Kadang-kadang kami berlatih cuma 2 jam. Tapi dadaku masih sempit.  Hal ini menyakitkan. Aku mahu realisasikan mimpinya menjadi pemenang, sedangkan aku seperti anak kecil yang baru belajar perkara satu. Dengan kemahiran mendengar dan mengamati bahasa asing aku yang begitu tumpul, bagaimana mahu berbahas? Aku penat.

Dua minggu dan aku dah tak mampu lagi. Apa erti keberanian kalau membuta tuli? Kata F, dia yakin dengan aku. Kita punya waktu empat bulan untuk mengasah aku. Tapi aku dah tak rasa bahagia. Malah aku tak pernah bahagia dengan keterpaksaan. Aku bukan seseorang yang melakukan cabaran kerana tuntutan orang. Aku harus berkehendak. Dalam hal ini, kehendak aku sudah hilang.

Aku luahkan kepada kakak yang pernah menjadi ahli pasukan untuk tahun lalu. Kakak terperanjat. Tak sangka aku menyembunyikan hal sebesar ini dan menanggung sendiri. Sedangkan kakak yang perkasa juga pernah menangis tak mampu bertahan, aku pula melakukan semuanya tanpa sokongan sesiapa. Hari itu kakak pesan, kalau aku menarik diri, harus cekal dan keras hati. Kerana aku bakal melukakan hati orang dan menghancurkan sebuah mimpi andai dia tak akan menemukan pengganti. 

Dua titis air mata lelaki dalam jeda selama empat puluh minit, cukup buat aku tahu betapa besar keputusan yang aku jatuhkan. Tapi aku harus melepaskan. Aku tak akan menjadi perkara yang baik bila aku menderita. Tak ada mimpi yang akan terlaksana nanti. 

II

Dua minggu sebelum pulang ke Malaysia, aku tergerak untuk ikut memberi sokongan. Walaupun aku tak bermakna apa-apa, aku tak peduli. Ini keputusanku sendiri.


III

Natijah untuk satu objektif yang pernah aku cita-citakan sudah terhapus sebaik aku mengundur dulu. Tapi pengalaman aku melihat manusia sudah beza. Aku sudah kenal perempuan Melayu yang tahu minum arak dan berpakaian separuh bogel. Aku faham makna liberal yang tidak aku berkenan. Aku faham diriku sendiri. Aku faham yang rupa-rupanya aku bukanlah begitu terbuka seperti yang selalu aku fikirkan. Aku masih cuma perempuan yang tradisionalis, berpegang adat dan nilai Timur yang kujunjung. Ini, cuma sedikit yang tertulis daripada ribuan pengamatan.

Di hujungnya, banyak perkara boleh membuat aku terkilan jika jiwaku kecil maka dadaku sempit pula.

Tapi tak perlulah aku berfikir begitu.

Ada banyak hal yang aku lepaskan untuk hal yang satu ini. Di akhir hari, tak usahlah aku menyesal. Inikan pilihan, yang kupilih kerana yakin bahagia. 


Jangan dipandang ranting-rantingnya, yang tidak menyenangkan.


IV


Aku cuma melalui hari-hari baru, dengan pengalaman-pengalaman baru. Untuk orang seperti F yang tak menjunjung pengalaman hidup, apa yang aku lalui hanyalah sia-sia. Malah seluruh hidup bolehlah menjadi tidak bermakna. Tapi aku perempuan yang percaya pengertian dalam nadi yang berdenyut pada waktu. Ada keputusan yang tak harus disesali. Kerana takdir di seberang, tak pernahlah kita tahu untung ruginya.



Dan ini, cuma catatan peristiwa. Rentetan beberapa gelombang yang mengenal jeda tak seperti aku.





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu