HARI SATU KEMBOJA
Penerbangan kami seharusnya dijadualkan pada jam 3 petang, tapi entah ada masalah apa, jam 5 baru dipanggil masuk ke dalam pesawat. Jam 6 petang waktu Kemboja kami mendarat ke Pnom Phen, dalam kepala masing-masing tak fikir apa-apa. Keluar dari pintu lapangan terbang balai ketibaan, mata meliar cuba menangkap susuk manusia yang memegang papan tanda UADC untuk bawa kami ke Siem Reap. Anehnya, tak ada.
F menyemak semula makluman-makluman penting, lalu tiba-tiba bersuara.
“Guys, I am sorry. Actually we should arrive at Siem Reap. Not Pnom Phen. So no one will pick us up here. We should go there ourselves.”
Malas nak biarkan angin naik ke kepala, aku dan S ke kaunter informasi dan bertanya tentang jalan-jalan yang boleh kami terokai untuk ke sana. Aduh, enam jam perjalanan. Gila. Katanya jalan paling biasa diambil orang adalah melalui bas malam, dengan harga 20USD. Kami kemudian berbincang lama juga, sampai masing-masing setuju untuk ambil bas saja. Ada seorang lelaki berjubah putih cuba tolong tanyakan kepada pemandu teksi dan tuk-tuk untuk bawa kami ke stesen bas untuk ke Siem Reap.
Dalam hati aku dah tak tahu nak berpura-pura senyum macam mana lagi. Ini hal ketiga yang buat aku tak tenteram. Antara hal lain, ini paling bahaya. Langit sudah gelap. Lima orang muda menaikkan barang ke atas kenderaan kecil yang dipanggil tuk-tuk ini, di satu negeri berbahasa asing yang tak siapa antara kami pernah familiar, dengan telefon masing-masing tak ada talian internet atau rangkaian untuk dihubungi.
Jam menunjukkan hampir pukul 8 malam.
Aku dah boleh mula senyum. Sekurang-kurangnya dalam situasi yang tak diharapkan semacam ni, tuk-tuk adalah pengalaman baru yang menyeronokkan. Angin malam yang panas menampar wajah masing-masing yang teruja melihat kiri kanan jalan; warung-warung, plastik sampah, atau anjing liar. Sebuah lori melintas tuk-tuk yang kami kenderai. Di atasnya penuh dengan manusia, mampat dan rapat, semua berdiri di bahagian trak yang terbuka. Aku tak pasti siapa lebih aneh melihat siapa.
“Pemimpin negara ni mesti bodoh kan? Mesti lagi bodoh dari pemimpin negara kita,”
“Tak. Kalau kau tahu tentang pemimpin negara ni, kau tak akan berani cakap macam tu,”
“Kenapa?”
“Sebab pemimpin negara ni lagi jahat dari pemimpin negara kita. Antara top rasuah dalam dunia.”
Aduh. Sakit kepala aku harus menyaksikan sendiri kesan terus ketidaksamaan pemerintah kepada kemunduran sosial. Selang lima meter di tepi jalan, harus ada plastik sampah, sama ada terikat atau terburai dek anjing tak bertuan.
Hampir jam 9 malam, pemandu tuk-tuk kedua malam ini, yang bawa kami dari syarikat bas malam ke tempat bas menunggu, menurunkan bagasi. Bas besar seperti bas biasa. Kami letakkan bagasi masing-masing di bahagian bawah bas, macam biasa.
Aku hulurkan tiket dan mendaki tangga bas. Pakcik bas hulurkan plastik, untuk kami buka kasut dan letakkan di dalamnya. Wah, kali ini aku teruja. Bas malam ini persis gerabak kereta api malam yang pernah bawa aku ke Langkawi pada 2010 dulu. Bas ini tak ada kerusi, melainkan kerusi pemandu bas di hadapan. Tapi di kiri dan kanan, dari depan sampailah kami menemukan nombor yang tertera di tiket kami di belakang bas, penuh dengan katil-katil dua tingkat. Iya, bas malam. Masing-masing ambil tempat, dan lelap. Aku saja belum mahu pejam.
Penasaran, entah kita akan dibawa ke mana.
Satu jam.
Dua jam.
Kadang-kadang, bas akan berhenti di tepi jalan. Aku tertanya-tanya kenapa. Di luar, gelap gelita.
Jam 11 malam aku bangun dari baring. Dalam kepala aku serabut memikirkan, macam mana caranya aku boleh ke tandas. Sepuluh minit selepas itu, bas berhenti lagi. Tiga orang perempuan bangun dari katil mereka dan turun. Kata I, mereka ke tandas. Aku pun turun dari tempat aku dan membawa plastik berisi kasut. Tapi belum sempat aku ke mana-mana, aku tahu yang tak ada tandas di luar, apatah lagi perhentian. Orang-orang ini memang berhenti untuk buang air. Ya, buang air di tepi jalan.
Ahh. Aku kan terpaksa naik ke katilku kembali dan bertenang.
Tiga jam.
Empat jam.
Lima jam.
Jam dua pagi, seorang lelaki menjerit dari depan bas, “SIEM REAP!”
Ah syukur!
Kami turun. Tak ada apa-apa di tepi jalan melainkan beberapa buah kedai yang tutup. Jalan sunyi dari kenderaan. Tapi dua buah tuk-tuk sedia, entah dari jam berapa menanti penumpang di situ.
Syukur, kami dibawa ke hotel selamat. Kali ini, 5USD untuk setiap tuk-tuk. Malas mahu menawar, masing-masing mahu segera saja.
Jam tiga pagi, kami belumlah boleh ke bilik. Entah masalah apa. Jadi masing-masing solat jamak Maghrib dan Isya’ di lobi saja.
Jam lima pagi kami mendapat kunci. Ah syukur!
Bas Malam.
Ulasan
Catat Ulasan