Contengan Umrah Pertama

Alhamdulillah selesai mengerjakan umrah bersama teman-teman. Inshaa Allah esok akan sampai ke Jordan, sesudah 28 jam lagi di dalam bas. Moga-moga suatu hari nanti dapat ke sini lagi dengan ibu, ayah, dan adik-adik.

I

Sedikit contengan dari mata saya yang murba. Di Haramain (Dua Haram) ini, manusia mendamba Tuhan sahaja dan seolah-olah kita semua sudah mati, kembali dihidupkan semula, masing-masing menjadi begitu terdesak merebut keampunan. Saya tak mahu katakan ini bukanlah apa yang nabi ajar, saling menyakiti untuk pahala dan keredhaan pencipta langit- cuma ya, hablu minallah yang berbaki dan hablu minannas sukar dijumpai di mana-mana terutamanya di tempat paling mustajab, paling direbuti.

Saya berhajat untuk terkilan, merasakan agama tak sepatutnya menjadikan kita ketinggalan dan seolah-olah manusia tak bertamadun dan kebelakang. Begitu gasar, begitu tak bersederhana, ekstremis malah menakutkan. Saya harap keterlaluan-keterlaluan ini tak disaksikan penganut agama lain kerana ini bukanlah sesuatu yang indah malah mungkin boleh dipandang jijik oleh orang yang tidak biasa. Mentaliti-mentaliti semacam ini, membuat agama kita seolah-olah agama untuk manusia kelas bawah. Betapa kita sangat tidak sopan untuk agama yang begitu kita dakwa wibawa.

Tapi saya tinggalkan hajat saya itu untuk cuba sabarkan hati, dan sekali lagi cuba kita fikirkan. Manusia-manusia yang ke mari ada pernah hidup di pergunungan, ada hidup di bangsal atau bendang, mungkin. Memang bukan masyarakat taraf kelas pertama yang tahu etika makan di restoran mewah. Saya kira saya tidak tahu sejarah belakang mereka yang macam mana. Bukan mereka menampakkan Islam sebagai rendah, tapi mungkin Islamlah yang pernah menyapa golongan-golongan yang hidup di kawasan yang belum membangun konstrak sosial dan etika manusia yang jernih dan sedap mata memandang ini. Mungkinlah. Disebabkan saya percaya tujuan agama sepatutnya sebagai cahaya yang memandu manusia keluar dari gua lalu menjadi terarah dan bertamadun.

Sekali lagi saya terfikir, melihat majoriti jemaah kali ini datang dari Turki, Pakistan, dan Indonesia, ada juga dari Malaysia,  Algeria dan negara-negara Arab lain; masing-masing seolah-olah memandang dari banyak cara untuk pengamalan agama. Malah banyak asimilasi budaya setempat menjadi praktikaliti agama. Begitu banyak. Tak ada sesiapa wajar mengatakan dia lebih benar dari sesiapa. Ya kita ada garis yang kita ambil sebagai panduan, tapi siapa pula yang buktikan garisan kita adalah sempadan? Masalahnya itulah, kita di Malaysia masih bertolak-tolak mendakwa jemaah aku lebih baik dan mulia, amalan dan ritual aku paling benar dan diterima. Disuruh membaca, tak mahu. Disuruh mengembara, tak mampu. Sedangkan katanya percaya yang rezeki Tuhan di mana-mana.

Bercakap perihal rezeki, sungguh-sungguh saya katakan yang keajaiban memang wujud selalu. Entah pertimbangan saya yang tidak bersih (biased), mungkin juga sebab fikiran yang tak banyak terganggu, tapi keanehan luar biasa memang banyak berlaku. Luar biasa pun, rasional lah. Belum langit mahu terbelah atau makanan jatuh dari langit kan?

Antara lain yang begitu indah di sini, kau dapat selalu lihat anak-anak yang menolak ibu ayahnya di atas kerusi roda. Sebenarnya terfikir juga, orang-orang tadi yang saling membahayakan satu sama lain, boleh jadi sedang cuba melindungi orang yang mereka sayang. Naluri dan kuasa cinta. Ahah! Masa-masa tawaf beginilah kita akan rasa keseorangan sebab kita tak ada sesiapa untuk kita jaga dan tak ada sesiapa untuk jaga kita, cuma Tuhan. Moga-moga nanti kita jadi anak yang begitu juga, setia merisaukan orang tua yang kita sayang.

II

Sempat juga mengenal manusia-manusia setia yang kita tak sangka dan tak pernah kenal, sanggup bersama di belakang, menyangga kita yang letih mendaki, ada juga yang rela bersusah-susah sama-sama menolong mencari selipar hilang. Ada pula yang kita sangka kanan rupa-rupanya kiri. Ada yang nampak mendengar rupa-rupanya tak peduli. Syukur untuk tahu nikmat mengenal kaca dan permata. Yang selalu kita rasa paling buruk, sebenarnya ada yang lebih aneh perangainya. Malah yang paling hina juga, kita bukanlah sesiapa untuk menelah sebabnya mengapa. Tapi yang paling indah dalam rehat sepuluh hari ini, buat kita lebih faham pesan ibu yang memang manusia tak patut kita letakkan harapan walau sesaat. Manusia ni makhluk yang banyak kelemahan tau, saja ingatkan kalau lupa. Syukurlah kalau kau jenis yang sukar merajut sangkaan. Syukur lagi bila semua kau sandarkan kepada penguasa langit dan bumi.

Tapi itulah, untuk sepenuhnya berserah, tak semudah melantun kata-kata dari mulutmu yang manis.

Terakhir pesan.
Kita, jangan suka meneka hati manusia.

Bismillahi Allahuakbar Walillahilhamd.

------

Yang suka lewah dalam berfikiran tapi kepalaku sepi dapat bernafas di sini;
Hidayu Hatta.
21012017.
Perjalanan meniti cuaca berubah,
MEKAH-IRBID.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu