Teater Musikal HALUSINASI

Kisah kami bukan yang semua lihat di atas pentas, tapi jejak-jejak yang dilalui untuk melakar pentas malam ini.

Partikel sejuk kesiur musim dingin masih tak mampu melewati takah haba yang terembes dari segenap pembulur darah. Itu saya. Ada yang masih berkeringat dingin, ada yang masih tenang dan selamba, dan ada yang terus dengan kata-kata semangat; belum putus menyeduh ketenangan dalam secawan hati-hati kami.

Teringat satu malam rasa tak terpikul beban atas pundak. Pernah saya seolah menggesa tuan pengarah yang juga diuji, minta disegera lagu-lagu yang harus digubah lariknya, bukan sembarangan - cerita, perasaan dan erti. Dan masa yang terus berdetik buat saya geresah tak tertanggung lagi, minta didatangkan Tuhan satu peri hadiahkan satu hajat.

Dan hajat saya masih sama, "Tuhan kau berikan aku waktu yang lebih dari orang lain!" Untuk saya selesaikan minggu bahasa yang berbaki, untuk saya turut sama pulun persediaan Kertas Kerja INSPIRES nanti, juga teater seterusnya satu minggu lagi.

Tapi pari-pari tak pernah datang, cuma hati yang terus walang, tak sengaja semangat yang cuba dikumpul akhirnya hanya menakung air mata. Sebab yang masih saja sama, saya tak punya bahu- walhal berpuluh orang pernah dan masih datang menghulur telinga dan waktu.

Oh rupanya Tuhan masih mendengar. Waktu yang saya punya siapa tahu erti selain yang di langit? Siapa pula bisa menghitung kualiti dari saki masa yang berbeza?

"Saya risau. Dan saya rasa perasaan ni macam tak patut,"

Langit jingga yang tenang, belum cukup menenangkan hati pemilik headphone-terpisahkan-dua-oleh-takdir, bagaimana pula mampu menghadiahkan jawapan menenangkan buat yang meluahkan rasa?

Malam ini usai pementasan, rasa sakit sedikit di bucu dahi. 'Oh, jerawat teater! '

Sungguh. Manusia cuma mampu risau untuk hal-hal penting. Kalau tak penting, kita tak risau. Badan kita bijaksana dicipta Tuhan memahami, pentingnya malam ini buat semua. Dan ya, pentingnya kalian buat saya.

Sekali lagi, kisah kita bukan yang semua lihat di atas pentas, tapi jejak-jejak yang dilalui untuk melakar pentas malam ini. Dan itu termasuklah tempoh bersengkang mata, tak makan dari pagi, kebulur ABC, demam selsema dan sakit kepala, tak lupa deretan peperiksaan menangis minta perhatian. Kita masih menabur cinta, kudrat empat kerat, suara, masa dan tenaga. Semoga Allah balas keluarga baru saya, dengan kasih sayang yang melimpah ke kaki langit!


Terima kasih, semua!











---

Dan ya, Ain Su, saya pun paling suka Epilog. Turun koster sampai Mafraq, Tuan Pengarah sengih sambil hulur laptop. Lalu beburung pun berkicau menyanyikan lagu semangat buat aksara yang menari, dan saya.


Kepingan bait lagu Epilog, kunci pementasan malam ini, dan kehidupan seluruhnya :

🎶🎶🎶

Walau teruji dek kejam hidupmu 
Jangan diamkan lakukanlah sesuatu 
Yang menghantuimu tak mudah berlalu 
Di jalan mu

Walau hidup ini tak seindah syurga 
Tak bermakna kau menyerah saja 
Kadang segalanya menindas kita 
Masalah tak selesai 
Perlu bersemuka 
Jangan biarkan! 
Kalau kau biarkan! 
Takkan selesai!

Tak ada sesiapa menanggungnya untukmu 
Hanya kau yang mampu ubah ceritamu 
Terbongkarlah segala, HALUSINASI!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu