langit lazuardi lagi hari ini


Lagu Suatu Pernah - Fynn Jamal, termainkan di radio kereta ketika saya sedang memandu pulang dari klinik, dan Tuhan, air mata saya jatuh seperti empangan pecah, seperti tak ada lagi besok. Pandangan saya kabur, nafas tak lagi teratur. Hampir-hampir kemalangan dan saya tak mampu mengawal diri apatah lagi kenderaan. Satu antara banyak episod hari-hari jatuh dan diri saya runtuh. Ia bukan depresi, cuma proses grieving meraikan kehilangan mimpi yang nihilistik sifatnya. Saya yang dulu mencebik kisah-kisah patah hati, akhirnya diuji Tuhan mengenal sisi diri yang tak pernah saya tahu sebelumnya. Memandang ke belakang hari ini saya tahu ia bukan cinta, cuma sesuatu toksik yang menerujakan kerana tak pernah dilalui. Ia bukan kisah pengorbanan atau kisah cinta yang sederhana, tapi kisah mementingkan diri sendiri dan justifikasi untuk tidak setia.

Syukur saya tersedar
syukur saya tertampar
syukur saya terbangun dari lena panjang
tidur ngeri yang meragut separuh nyawa
syukur saya tahu di mana saya, di mana engkau,
di mana hidup menempatkan kita, 
syukur saya sudah boleh ketawa 
membaca catatan-catatan dungu 
perempuan yang candu
kepada cinta yang tak pernah ada
syukur saya sudah tahu diri
tak lagi meletakkan diri, jiwa, rasa, aspirasi, semuanya
di kaki satu lelaki yang manis perkataannya
menjadi hamba yang patah dan hampir mati


syukur saya mahu sedar
syukur saya mahu menampar diri sendiri
syukur saya bangun dari lena panjang
dan mengenal hakikat yang erat
syukur ada teman-teman yang jadi bahu, tahu dan tanpa tahu —
(huda, eqha, adi, kaksyu, sarip, kak qilah, sher,..)
syukur air mata membasuh luka
mengasuh duka jadi dewasa
syukur saya membuka dada dan mengenal sayangku
yang tak pernah sekali meletak syarat
yang tak pernah ragu memeluk saya
dan cita-cita saya
saya tidak redha sebelumnya apatah ikhlas
tapi hari ini Tuhan, saya syukur
mengetahui
dalam mimpi singkat saya yang terlalu ngeri
saya ambil waktu satu tahun untuk terjaga
kepada seorang lelaki yang menghargai saya.


Saya boleh menulis catatan-catatan begini sebagai ingatan atau peringatan, dan ketahuilah, saya sudah tersenyum menulisnya sambil mendengar Suatu Pernah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

conteng baju sekolah^^

dah habis dah sekolah. macam tu je.

Catatan Melahirkan Seorang Ibu

Engaged

Kepergian