Topeng

Lin memang macam tu. Dia jadi lain di tempat baru, dalam kelompok baru. Perasaannya asing, menumbuhkan diri dia yang asing. Keadaan tak sama kalau Lin masuk ke kawasan baru dengan seorang kawan yang bawa sama sebahagian hidup Lin, mengenal seperca hati budinya. Tak sama. Kalau Lin bersama seseorang lama, berkenalan dengan kelompok baru, dia bawa sekali hidupnya. Lin yang berani, Lin yang lantang, Lin yang kepoh dan tak ayu langsung.

Tiga kali. Dah tiga kali dalam hidup Lin terpaksa menempuh kelompok baru yang mana dirinya tak dikenal sesiapa. Sekali, masa ke kelas tambahan waktu Lin tingkatan tiga. Kemudian, masa PLKN. Dan kali ni, Lin masuk kerja. Rekod di PLKN, Lin akhirnya berjaya jadi diri sendiri, relatif kepada tempoh yang lama - tiga bulan.

Di pusat tuisyen dulu, Lin yang jenis 'kaklong kawasan' yang dikenali di sekolahnya sebagai pemberani, tiba-tiba dikenali sebagai perempuan ayu yang pendiam dan tak bercakap sepatah. Menjawab bila ditanya, dan cuma senyum bila yang lain ketawa. Itu ternyata bukanlah sikapnya yang sebenar. Lin cuma janggal. Dia tak tahu bagaimana menjadi dirinya sendiri. Malah sampai tamat tempoh tuisyen yang cuma selama dua minggu cuti sekolah itu, Lin kekalkan prestasinya sebagai wanita Melayu terakhir. Seorang jejaka tersuka kepada Lin dan mahu menjalinkan persahabatan, memanjangkan perasaan. Tapi sudah pasti Lin sedar yang jejaka tersebut suka kepada dirinya yang salah, malah itu bukan diri Lin! Lin orangnya kasar, ligat, bising! Bukannya perempuan lemah lembut yang dikenal sekejap itu!

Sekarang Lin dah berumur 23 tahun. Lin masih belum pandai jadi dirinya sendiri dalam keasingan. Sudah seminggu masuk ke tempat baru, Lin masih perempuan yang ayu dan sekadar tersenyum tersebut. Bukan lagi seorang Lin yang lahir pantang dicabar. Lin tahu, semua orang perlukan masa. Lin sendiri perlukan masa untuk dirinya diteroka. Semua orang ada kapasiti mesra yang berbeza, menurut jurang berbeza yang mereka letakkan terhadap kelompok berbeza. Tapi kalau seorang jejaka yang pertama kali bersua dengan Lin hari ini, minta nombor telefon dengan hajat memanjangkan perasaan dan perkenalan, Lin khuatir. Yang dikenal itu bukanlah dirinya yang sebenar. Yang dikenal itu sekadar topeng yang dipakai kerana janggal, sementara menuruni waktu dan menceraikan satu-persatu lapisan dirinya yang bersembunyi.

Jadi bagaimana? Adakah patut Lin khabarkan kepada dunia perihal dirinya? Ataukah Lin minta diberi masa, sedangkan Lin yang mahu memberi masa dirinya dicintai sebagai dia? Biar satu saat nanti seorang Lin tak dikhianati dirinya sendiri?



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

dah habis dah sekolah. macam tu je.

conteng baju sekolah^^

Engaged

iklil, kita kawan kan?? :(

Catatan Melahirkan Seorang Ibu