One Moment For Them 2.0 Jordan
30 April 2016
Saya tak tahu perasaan bagaimana seorang artis atau penyanyi yang mahsyur terkenal seluruh pelosok negara sekiranya tahu yang saya tak pernah mengenali mereka lebih dari sekadar mereka adalah seseorang yang terkenal. Kami sambut mereka yang keletihan, selesai konsert amal di Cairo malam tadi lalu terus terbang ke sini untuk Fundraising Talkshow di Irbid. Semua orang begitu bertenaga dan ceria, menyebarkan gelombang positif dari kerusi paling depan sampai ke baris paling hujung masih suka dan ketawa, tak nampak walau secebis garis letih dan sangsai dari mana-mana wajah. Dan saya lega. Memiliki team yang masih kuat dan semangat.
"1M4T tahun ni lebih bermakna, lebih dekat,"
Siapakah yang mampu menafikan makna dari air mata? Entah sekeping hati bagaimana yang lima manusia ini miliki, begitu rapuhkah atau begitu teguhkah? Tapi saya berani bersaksi bahawa tak ada satu keraguan pun yang tersisa melihat senyum dan tangis mereka. Ini bukan sandiwara.
1 Mei 2016
Selesai bermain dengan warna-warna dunia dari tapak tangan anak sekecil lima ke tujuh tahun di raudhah, pasukan kami bergerak ke sekolah seterusnya. Saya fikir hanya ketawa dan suka yang mereka akan rasai kali ini Selesai berbakat memasak bersama anak-anak, semua duduk pula mengelilingi abang Faizal. Gitar dipetik memainkan akustik Assalamualaikum Dunia, sekaligus memetik getar yang tak pernah kami rasa, Fadhal, menangis tiba-tiba. Saya hairan, sebenarnya apakah yang ada dalam fikiran Fadhal. Adakah sekadar sebak dengan lagu yang basah di bibir dari setahun lalu hari ini dimainkan penyanyi yang dikagumi di depan mata, atau sebenarnya ada lain yang Fadhal rasai?
Halab dan Aleppo sedang terbakar waktu lagu-lagu ini kita nyanyikan, mungkin kita lupa mereka bukanlah terlalu kecil untuk tak mengerti maruah siapa yang tercalar dan agama siapa yang tercabar.
Apa saja yang mampu kita teruskan selain pendidikan anak-anak yang faham ini?
Tiga buah MPV bergerak ke lokasi seterusnya di Mafraq, bertemu dengan anak-anak yang sedikit beza. Lebih comot, lebih kasar, dan jujurnya pada saya, lebih kelihatan kuat dan mengerti. Kami disambut dengan keluarga-keluarga yang sudah menunggu begitu lama, hampir dua jam di bawah khemah di depan sekolah. Menanti lagu-lagu yang tak mereka fahami dinyanyikan, tapi bukan itu yang mereka tunggu. Mereka cuma menunggu tangan untuk disambut, dan kekuatan untuk dipeluk. Tahu bahawa dunia ini bukanlah terlalu kejam, tahu bahawa kita tak berdiri seorang dan sepi, bukankah itu perasaan paling indah? Dan bukankah kerana itu mereka menunggu dan menanti, manusia yang tak mereka kenal untuk datang dan bersapa bahagia?
Matahari sudah mula jatuh ketika kami bergerak ke lokasi seterusnya, Kem Pelarian Syria di Khuwaija.Kem ini sudah berbeza dengan tahun lalu, dari khemah sudah terangkat
menjadi batu-batu yang mereka susun menjadi tempat teduh ketika dingin
musim salju dan terik musim panas. Seakan mendaki satu tangga, kami disambut dengan anak-anak yang lebih comot, lebih ligat dan lebih kasar. Apalah nak dihairankan dengan debu-debu putih yang menyalut muka dan baju, semuanya dipeluk satu-persatu. Saya aneh sekali lagi, hairan bagaimana manusia-manusia terkenal seperti mereka ini boleh begitu selamba memeluk dan mencium anak-anak ini tanpa ragu.
Kejutan demi kejutan mengangkat saya dari realiti. Malam itu Abu Abdullah, ketua di Kem Khuwaija bercerita tentang kisah dan pengalaman mereka. Abang Mua'dz menjadi penterjemah dan pengantara, memahamkan kalimah-kalimah yang terbit lalu menerbitkan air mata pula. Saya hairan sekali lagi, manusia seperti Abang Faizal dan Abang Noh yang selalu kelakar dan selamba, mengapa begitu mudah tersentuh dan menangis seperti ini? Ini bukan sandiwara, tak ada yang pura-pura dari keduanya, semuanya begitu jelas. Ada pengertian dari bucu mata mereka. Bila Kak Shi meluahkan kepada Kak Nina, yang dia sedikit lemah dan patah hati melihat semuanya, cuma satu yang Kak Nina balas. "This feeling is also a bless from Allah,"
Tak ada kamera atau mata yang memerhati. Cuma hati saya yang semakin yakin dan aneh.
Malam mengelilingi unggun api, teka-teki Abu Abdullah, dan kami diperhati bintang-bintang yang bertabur dan di mana-mana.
2 Mei 2016
Kami bergerak sedikit lewat. Bermalam di kem nampaknya sudah menjadi satu pengalaman paling indah bagi sesetengah manusia yang masih kuat. Saya muntah dua tiga kali pagi itu, entah angin terlalu kuat, atau saya sebenarnya terlalu mengada. Beberapa ahli kumpulan yang lemah cuba merawat diri dan kembali gagah, kami teruskan perjalanan jauh walaupun cuma separuh jalan. Kem Zaatari. Kem Pelarian Syria terbesar di Jordan, tak mampu kami rapati lantaran terkawal rapi oleh manusia berseragam dan berpeluru. Dari jauh kami melihat jutaan khemah yang tersusun rapat dan padat, entah kehidupan bagaimana tersembunyi di sebalik pagar berkawat.
Kami teruskan ke satu Kem yang dihuni lapan puluh ke sembilan puluh keluarga. Tiap satunya di dalam satu khemah yang entahkan kukuh entahkan tidak menahan angin yang begitu kuat, kami tak mampu membuka mulut tanpa membiarkan butir pasir menerobos masuk. Tapi anak-anak di sini lebih teguh. Saya secara peribadi sedikit mengelak, lantaran begitu kotor satu persatu. Saya aneh dan hairan lagi, Abang Faizal, Abang Noh, Abang Mua'dz, Aizat, Kak Nina, Kak Hanie, begitu selamba mendukung dan mencium, malah dengan kasih sayang mengesat hingus yang meleleh. Tak ada sedikit pun riak geli atau sekurang-kurangnya berjaga-jaga. Semua begitu selamba, menyebabkan saya juga berani memegang tangan-tangan kecil yang berdebu dan minta disayang ini. Matahari terbenam, dan sekali lagi menyaksikan cinta yang terbang dari bumi Malaysia.
-----
Hidup saya yang terlalu biasa, dikelilingi orang-orang yang jarang berekspresi, ataukah saya sebenarnya tak punya perasaan. Hari ini saya menulis tentang segala keanehan yang saya rasai, melihat air mata manusia-manusia ini. Mereka begitu terkenal, tapi tak saya kenali. Empat hari yang saya lalui bersama mereka, tak ada satu selfie pun yang saya ambil atau gambar buat kenangan perjalanan. Cukuplah empat hari ini tak sempat saya rakamkan apa-apa melainkan memori yang begitu indah, pengalaman dan perasaan, mengenal keanehan bagaimana permata yang tersembunyi. Mereka fahamkan saya yang duit dan nama bukan apa-apa, dunia juga.
Satu perasaan yang boleh saya gambarkan dalam diri mereka tiap satunya,
mereka ada cinta yang melimpah dalam hati.
-----
Project Manager 1Moment4Them 2.0 Jordan,
3 Mei 2016.
Gambar curi dari page. Huhu. Satu je mampu.
Ulasan
Catat Ulasan